Ku hitung hari demi hari berlalu pantas meninggal pergi mimpi yang kekal mimpi. Aku dan kamu masih umpama kelkatu mencari lampu, tanpa disedari hangat kalimantan yang bakal buat tubuh ku meronta. ku sangka ia cahaya bahagia,namun sebenarnya jalan derita.

Ini monolog makhluk bergelar manusia,seringkali tersilap menafsir tersalah melangkah. cukup iras lakunya semacam kelakatu,walau dilihat sudah banyak spesisnya rebah dimamah haba mentol panas,masih berpusu mencari bahagia yang palsu.

Aku tau dan kamu juga tahu. Namun sering kali keliru. mana satu jalan yang harus dituju. Terkadang hati sudah yakin dengan pilihan iman,namun saat diuji nafsu,iman sudah menjadi kelabu,jiwa kelkatu merasuk fikiran,menjadi pilihan.Aku dan kamu…sekali lagi menjadi kelkatu. Mencari cahaya bahagia,tapi sebenarnya ,haba yang membawa duka dan lara.

Sudah banyak kali aku merintih,minta dosa ini diampunkan, kerana aku sudah penat berjiwa kelakatu,yang kelabu dalam mentafsir pilihan. Sebolehnya sudah tidak mahu menoleh ke belakang, kerana sakitnya bukan kepalang. Kadang kerana cinta ,aku jadi gila bayang. Kadang kerana nafsu,aku seperti ditampar sehingga terhuyung hayang.Sakitnya…bukan kepalang. Tak mengapa…ku kira ini penghapus dosa.

Aku nak…

Posted: January 18, 2016 in ABSARIA

Salam absarians,moga sihat sokmo. Monolog diri bicara perihal kemahuan hati mencari ruang menyempurnakan diri dan dilihat gah di mata insani tak pernah berhenti. Kata ringkas ‘aku nak..itu dan ini’ sentiasa bermain di bibir  melafaz kehendak naluri . ‘ aku nak…’ Tak menjadi falasi namun ia sentiasa dibiar sepi dan bernoktah tanpa kerahan keringat mentafsir mimpi.

‘Aku nak…itu dan ini’ hanya diluah kemudian disimpan bila kaki tak menyentuh bumi tangan pula tak sampai menggapai apa yang diimpi sehingga kekal ia menjadi igauan ngeri hingga diri tak sanggup dilamun mimpi lagi dan lagi.

‘Aku nak…’ Tak pernah x nak…yang aku x nak adalah menjadikan ‘aku nak..’ menjadi realiti yang diamati dan dihela nafas panjang tanda berpuas hati setelah kedarat diperah sepenuh hati sehingga ia bukan lagi fantasi.

Kematian yang terkenal

Posted: December 7, 2015 in ABSARIA

Salam Absarians. Guane citer sek kito lening? Harapnya kehidupan yang kita singgah ini tak pernah lindungkan kematian yang sedang kita tuju. Bercakap tentang kematian,absar tersentuh untuk menyentuh perkara yang sedang meniti di setiap status penduduk media sosial. Bermula daripada pemergian almarhum pak yus dan beberapa pelakon otai tanah air sehinggalah kepada almarhum tunku kerabat sultan johor. Tajuk post singkat ini perihal kematian yang terkenal.

Kita sering tersentap dengan berita pemergian sahabat mahupun kenalan dekat sekalipun ahli keluarga yang rapat,membuatkan kita sesak dan sebak. Perkara agung yang terus singgah di benak otak adalah detik manis mahupun pahit bersama insan yang telah tiada ini.  Andai yang telah tiada itu seorang pelawak,kita pasti sebak bila terfikir sudah hilang satu ruang untuk hati girang disebabkan lawak spontan mereka. Kalau yang telah pergi itu seorang pemimpin yang baik, maka pastinya kita merintih sedih tatkala kita rindu kasih dan pimpinannya. Jika yang pergi itu insan yang paling rapat dengan kita, maka ia seolah olah telah hilang secebis anggota daripada badan. Sakitnya sehingga tak tertahan deraian air mata.

Kematian yang terkenal ini sebenarnya wujud apabila kewujudan insan yang telah pergi ini meninggalkan kesan yang mendalam kepada kita yang masih diberi permit hidup sementara. Kebaikan, jasa dan sokongan mahupun kenangan riang semasa hayat mereka lah yang menjadikan kematian mereka terkenal. Mereka bukan terkenal atas status semasa hidup semata, tetapi sebenarnya mereka terkenal atas apa yang mereka buat semasa hayat. Itulah yang kita kenang , dan itulah yang akan kita simpan untuk sebuah pedoman. Absar masih ingat kisah yang dikhabarkan tentang pemuda hebat seperti almarhum ammar yang diangkat sebagai  teladan buat muda mudi meniti perjalanan menginfakkan diri kepada agama dan bangsa. Beliau orang biasa yang mencorakkan hidup secara luar biasa untuk memberi manfaat kepada manusia.

Buat anda dan absar yng masih bernyawa, ayuh  kita berusaha, memberi manfaat kepada insan lain, gembirakan yang muda, sayangi yang tua, bantu lah yang papa , nasihatkan yang leka atau apa sahaja yang dikira sebagai berjasa.

‘Ya Allah Andai terkenal itu tak wujud semasa kelahiran kami, berikan kami sebuah kematian yang terkenal. Terkenal dengan amalan baik kami di bumi. Amin.’

Titipan ini daripada insan berdosa. Maafkan Absar andai ada yang pernah terluka. Moga tulisan ini bisa berjasa.

 

Hidup umpama air

Posted: December 6, 2015 in ABSARIA

Salam Absarians. Selamat pagi. Semoga hidup saya dan anda sentiasa hidup hendaknya. Bicara soal hidup dan kehidupan, ada yang terfikir adakah mereka benar-benar hidup dalam kehidupan? ada juga yang terdetik, bagaimana sebenarnya cara hidup atau menghidupkan kehidupan? Tak kurang pula mereka yang sebenarnya tak pernah tahu apa makna sebuah kehidupan. Tak kira lah samada mereka sendiri yang tidak mahu tahu, atau sebenarnya sudah penat dihentam oleh sebuah kehidupan. Pada hemah otak kecil Absar, hidup ini umpama air. Air ini tidak seharusnya bertakung pada suatu tempat semata. Ia perlu bergerak bagi ia terus hidup. Pernah anda lihat air yang asalnya putih bersih tetapi busuk dan kotor apabila ia bertakung pada suatu tempat. Bahkan, bisa mengundang maut apabila penyakit dan parasit mula menumpang pada sifat kotorannya itu.

Tuntas, air ini perlu bergerak, tak kiralah laju mahu lambat,jauh mahupun dekat, tenang mahupun berkocak. Itu adalah fitrahnya air yang hidup. Di lautan sekalipun,andai dilihat peta dunia mahupun diintai dari angkasa sana, ia seolah bertakung hanya di suatu tempat. Namun bila diamat dari jarak yang dekat, ombak sentiasa memukul pantai,arus sentiasa berteman rapat. Maknanya,air ini memang bergerak. Hasilnya,air ini hidup,bahkan menghidupkan. Berapa banyak hidupan yang menumpang,berapa banyak pula khazanah yang tersimpan. Itu fitrah dan lumrah .

Justeru,entri pendek di permulaan hari ini ingin menjentik diri Absar dan anda,supaya mengambal hemah dan hikmah daripada kejadian air ini bagi menghidupkan kehidupan kita supaya tidak bertakung pada tempat yang sama. Buatlah pelbagai perkara perlu dan mahu. Jadilah apa jua jenis air yang bermanfaat tak kiralah pada alam mahupun sejagat,bukan racun tetapi ubat. Tambahlah nilai diri setiap saat agar diri anda   keperluan kepada ummat. Moga kita terus sukses! : )

Pesan Hati.

Posted: March 8, 2015 in ABSAHAN

Penat meniti hari-hari yang pantas berlari seakan tak akan berhenti. Tenat menanti mimpi yang belum pasti menjadi realiti. Terkadang fikiran terhenti merenungi nasib masa yang berlalu seakan perginya sudah tidak lagi diratapi. aku bangun dari mimpi hinggalah aku bermimpi kembali. Singkatnya waktu sudah tiada lagi mengganggu. Bumi kering ini terus ku pijak mencari jejak yang belum berpasak. Masih terus  ku renang di gelora ombak lautan ,biarpun masin airnya jutaan kali ku telan.

Ku bilang jari jemari,mengira hari yang telah ku warisi walau sering ku lupa ianya bakal dihitung kembali di hadapan pemilik tangan dan kaki. 31 tahun putaran bumi melingkari duniaku seakan memanggil tua datang walau tak pernah diundang, hadir ia tak dapat dihalang. Telah ku temu pelbagai macam ragam ; insan yang baik hati, manusia yang dengki,bahkan malaikat di siang hari juga syaitan yang banyak berbudi dengan janji.

Pesan hati jagalah diri. Kelak kau akan mati dan tiada lagi kembali ke bumi. Yang ditinggal menangisi pemergian, yang dibawa hanyalah dosa , pahala serta kafan 3 lapisan.Setanggi semerbak bertukar busuk badan mereput dimamah tanah dan lecak. Langit cerah kucari tiada ku jumpa, yang tinggal liang lahad yang gelap gelita.

Ku hitung kembali,ku kira berkali kali, mana hari-hari ku yang bermanfaat buatku saat ini. Menangis dalam pejam, meratap dalam kelam. Ku hina busuk diriku sendiri, ku maki nanah pada badan sendiri, ku keji dan caci pada maksiat dan dosa sendiri. Namun , aku sudah mati, mati bersama hina,maki keji dan caci.

Pesan hati jagalah diri. Andai masih ada hari -hari buat diri, mari lah kita menyemai budi,menabur bakti mencari amal buat diri sendiri, agar mati nanti,tidak bersama hina , maki, keji dan caci. Biarlah dunia membenci mu, asalkan tuhan memeluk mu. Biarlah bumi meminggirkan mu, jangan tuhan berpaling dari mu. Pesan hati.

~Pesan Hati . 8 mac 2015. INTAN,Kemaman,Terengganu ~

Apa Yang Aku Mahu ? @ A.Y.A.M?

Posted: January 11, 2015 in ABSARIA

Salam absarians. Selamat Tahun baru diucapkan buat anda semua. Walaupun sedikit lewat, ia tetap memaknai sebuah ucapan yang diiring bersama doa kepada kejayaan kita semua. Entry kali ini fokus nya untuk kita sama-sama fikir berkenaan perjalanan kejayaan yang sedang kita sama-sama corak dan coret dalam diari kehidupan. Saat kita jatuh,mampukah kita terbangun lagi? waktu kita terbangun,mampukah kita terus melompat tinggi? Semua jawapan kepada persoalan ini akan dipaksikan kepada jawapan soalan ini : ‘Apa Yang Aku Mahu?’. Tanyakan pada diri sedalam-dalamnya sebelum mahu muram kerana kecundang atau senyum kerana sudah menang. Apa yang aku mahu sebenarnya. Hakikatnya, apabila kita sudah tahu sejelas-jelasnya,kita akan menjuruskan seluruh fikiran mahupun kekuatan fizikal ke arah suatu yang kita mahukan.

Samada sedar mahupun di bawah sedar,diri kita diaruskan ke arah matlamat yang sentiasa kita apungkan melalui perbuatan kita yang sudah dipasakkan kepada jawapan persoalan A.Y.A.M ? tersebut. Tuntas,perlu kita sentiasa optimis dan bugarkan keyakinan kita akan keupayaan mencapai A.Y.A.M? tersebut.

Bermulalah dengan syukur pada segala nikmat yang diberi pinjam ini dan disusuli dengan berkongsi kesyukuran ini dengan tabiat memberi pada yang memerlukan. Bimbit amalan in bersama usaha jitu ke arah jawapan A.Y.A.M? tersebut. Yakin itu perlu dipupuk,dan kejayaan itu menagihkan usaha yang berterusan. Awal Januari ini,tanyalah diri, Apa Yang Aku Mahu? @ A.Y.A.M? Apungkan jawapan itu setiap detik kamu suram mahupun setiap saat kamu girang,agar ia bisa jadi udara yang dihela dan darah yang mengalir ke seluruh batang tubuh sehingga ia menjadi sebati dengan diri,yang akhirnya pasti membuahkan hasil untuk dinikmati di penghujung hari. Man Jadda Wa jada , Man zaraa Hasada. Selamat berjuang di tahun 2015. Adios. 🙂

20141225_121133

Apa Yang Aku Mahu untuk 2015? Pelamin kah? Haha..Amin..Absarians doakan saya yea.!

Mengharaplah Pada Yang Sudi

Posted: September 18, 2014 in ABSARIA

Salam dan selamat pagi Absarians. Long time no see ..hehe.. da abes raya sampai nak raya balik kan..anyway, absar harapkan semuanya masih kekal bersemangat membangunkan diri. Perlu diingat, Life too short to regret! so ..Just Do It!.. Buat sajorh..sementara masih bernafas.

Entry ringkas kali ini tajuknye senada dan klise sahaja. Mengharaplah pada yang sudi. Tagline ini bukan suatu yang baru. Namun telah dikhabarkan dalam ratusan versi penulisan yang dinukilkan oleh jutaan jiwa yang memahami melalui kacamata yang berbeza.

Bagi yang sedang bercinta dan sedang mencari cinta, fahami erti kata ini sedalamnya. Bagi Absar, cinta ini mudah. Aku suka dan kau suka. Aku sedia percaya kamu dan kamu sedia percaya aku. Aku sudi dan kau pun sudi. Maka ini lah menggambarkan ayat ‘Mengharaplah pada yang sudi’. Usah ditangisi pada yang tak mahu memberi. usah diingat-ingat pada yang tak menghargai.Percayalah,pasti ada yang sudi. Absar sudah melalui. Cuma masa dan orangnya mungkin belum tiba. Teruslah sabar menanti.

Bagi yang sedang mencari rezeki, mengharaplah pada yang sudi. Absar pernah diajar teknik ‘target the rejection’. Maknanya kita mensasarkan penolakkan. Manusia sering takut dengan penolakan,walhal ianya sebahagian daripada kehidupan. Jangan takut ditolak,kerana melalui penolakan lah kita menghargai sebuah penerimaan. Tunggu dan terus berusaha mencari yang sudi. Mengharaplah pada yang sudi. Jangan bersedih andai ditolak,jangan berduka tatkala tidak diterima. Pesan tuhan dalam Al Quran, mungkin apa yang kamu mahu itu tidak baik untuk kamu dan mungkin apa yang kamu tidak mahu itu sebenarnya sangat kamu perlu. Justeru , mengharaplah pada yang sudi,jangan dinanti pada yang tidak mahu memberi hatinya.

Buat sang pencinta mahupun yang berkerjaya, pendek kata jangan berduka kalau tidak diterima, Janji tuhan itu pasti. Dia takkan benarkan hambaNya berduka. Segala kententua sudah dirancangNya. Hanya mahu melatih kita sabar dengan dugaanNya. Mengharaplah pada yang sudi. usah dipandang mahupun dinanti pada mereka yang tak pasti mahupun tak sudi.Hal ini akan elakkan diri kamu berkecil hati dan lari dari fokus menguatkan diri. Selamat Maju Jaya. Gembira lah wahai Jiwa.