Archive for February, 2013

Ku rindu bau cinta

Posted: February 22, 2013 in ABSARIA

Sesekali melihat dan mendengar anak kecil mengalun nasyid dan zikir mengagungkan keesaan Tuhan membuatkan ku terhidu kembali bau cinta dari hati suci kepada sang pencipta cinta. Hati kecil itu biarpun mungkin liriknya dihafal,rentaknya diingat,zikir dan nasyid yang diadun dan dialun seolah tidak tersekat dengan busuk nya dosa dan noda. Suatu ketika dahulu aku diasuh sebegitu. Mulakan dengan doa,akhiran jua dengan doa,dalam setiap hal. Zikir kan sifat tuhan, alunan nasyid menguatkan iman, asmaul husna umpama ulaman dalam setiap hidangan pekerjaan seharian.

Namun jiwa kecil dan kerdil itu terus membesar dalam dunia yang penuh dengan dugaan. Pesan tuhan ‘ apakah kamu fikir kamu sudah beriman sedangkan kamu belum diuji?’. Maka,timbul tenggelam lah hati itu dalam lautan ujian dari tuhan. Ada kalanya ia tegak melawan ombak, adakalanya pula rebah dilanda bah. Hati itu kini sudah penuh dengan parut dosa dan noda. Terkandung bau busuk neraka yang menutup bau rindu cinta buat sang pencipta.

Hati itu terus leka. Ia sudah hanyut ditelan gelombang lagho dan manisnya dunia. Masin lautan dosa terasa seperti manisnya gula pahala.Diminum dan ditelan walau akal tak lekang berpesan, ‘yang kau telan itu dosa, bukan manisan dari syurga!’. Namun hati terus dahaga,dituang nya gelas derhaka pada sang pencipta. Tak cukup pagi,petang pula di sambungnya. Sudah penuh senarai petang, senarai pagi pula dibukanya. Apa saja bentuk derhaka,sudah tercipta dalam benaknya.

Sakit, hati itu terasa sakit. Sakit kerana rindu pada cinta sang pencipta. Terasa jauh seperti ditinggal gelap dalam gua tanpa sebarang suara. Sepi langsung dari sebarang warna. hitam dan kelam. Ya , hanya hitam dan kelam. Hati itu terseksa dan menderita. Teruslah ia bermuram durja. Maka,ia mula mencari cinta yang dicipta. Menagih la ia pada cinta makhluk yang penuh dengan pura-pura. Hari ini indah,esoknya punah. Dibina lagi cinta palsu penuh dosa. Hari ini cantik,esok ia carik dan terik. Tak putus asa, ditutupnya lombong cinta manusia,dengan berbaik sangka yang cinta itu akan datangkan bahagia. Tapi akhirnya, yang dinanti tak kunjung tiba. Bahagia cinta manusia, tidak pernah menjelma.

Maka hati sudah tenat. Tenat rindu pada bau cinta sang pencipta cinta. Tenat dilukai dan didustai cinta yang dicipta. Ia sudah putus asa. Hati mahu kembali pada si Dia. Si Dia yang ada cinta yang benar benar berharga. Tuntas, ia hidu dan terus menghidu. mana? Mana? Mana bau cinta pada raja segala cinta. Barat timur ,selatan dan utara. Sudah habis pelosok dunia. Bau itu tiada. Maka ia terus berduka. Ia semakin tenat. Tenat rindu pada bau cinta sang pencipta cinta.

Dalam kepenatan dan ketenatan, dahinya rebah ke sejadah usang. Dalam sekelip mata,terasa
seperti dilahirkan semula. Hati tenat kembali menjadi hati kecil dan kerdil. Hati yang pernah ukirkan zikir pada suatu ketika dahulu sudah kembali! Rupanya bau cinta itu ada pada sejadah usang yang sudah lama ditinggalkannya. Air mata mencurah tiada mahu dibataskannya. Seperti terasa menyiram hati yang tenat dengan air dari syurga yang bisa memadamkan api neraka yang membakar hati yang penuh dengan noda dan dosa. Hati itu sudah mula tersenyum. Rindu cinta Agung sudah diketemu.

Wahai hati hati yang di sana. Andai kalian juga pernah tenat, andai kalian terasa penat..carilah bau cinta hakiki,pada sejadah yang sentiasa menanti. Pintu cinta dengan bau syurga,tidak pernah tertutup buat mereka yang rindu untu kembali mengukir zikir mengalun fikir tentang kebesaran sang pencipta cinta. Ayuh hati hati yang ku cintai, kita hidup dalam bau cinta sang murabbi.Amin.

Ku tulis ini buat diri mu…Ya, Kamu!

Posted: February 20, 2013 in ABSARIA

Ada kala aku menulis tika jiwa bergembira. Ada jua kalanya aku mencatat, tika jiwa merana. Namun kali ini,jari menari tatkala jiwa ku tiada. Kosong seperti lagu najwa latif. Kosong makna dan kosong rasa. Aku menulis kali ini kerana sudah lama tidak menulis. ‘Tidak boleh terus begini’, detak dan detik hatiku berpesan. Kepenatan dalam mencari ilmu dan harta,dunia mahupun akhirat, menidakkan aku untuk bersua dengan kalian tercinta. Ingin sekali ku manabur benih cerita ku bersama Dia Yang Agung  atau  ‘kamu’ yang ku cinta mahupun mereka yang ku suka, supaya benih itu berakar di ladang episod indah dalam menuju noktah.images (2

Sepanjang kembara ku ke timur dan ke barat, banyak ceria yang ku dapat dan tak kurang juga duka yang ku dakap.Ada indah yang bisa ku buat madah, ada parah yang bisa ku perah. Semua itu ku simpan dalam poket, buat peneman tidur anak cucu ku nanti.Ingin sekali ku khabarkan pada kalian, hidup ini memang tak mudah.Payahnya hingga ramai yang tidak mampu meredah.Bahkan aku punya teman yang minta diberi noktah. Jangan. Jangan pernah minta itu. Janji tuhan dalam kitab Quran,’ selepas susah akan ada nya senang dan Selepas senang akan adanya susah’. Senantiasa ingat janji ini,pastikan kalian akan yakin berdiri, biarpun rebah pasti kan kalian bersimpuh berpegang janji ini.

Hidup indah andai yakin perihal noktah.Yakinlah setiap insan diberi satu noktah.Cumanya bila dan di mana noktah itu hendak diletakkan,itu urusan pencipta. Urusan manusia:  corak atau carikkan saja setiap helaian itu dengan  dosa neraka atau pahala buat syurga. Terus menulis, letakkanlah ‘koma’ berhenti seketika andai penat jari menari atau tenat jiwa diuji, kemudian sambungkan penulisan kisah kalian. Sama seperti al kisahnya nya novel cinta. Pengarang yang bijak dan kreatif, tulisannya pasti digilai para pembaca. Indahnya bait bait katanya, terasa seperti bisa melayari kisahnya bersama. Harfunnya menceria dan  mewarnai helaian, susunan kosakata menyuburkan lagi damai dan bahagia dalam penceritaan.download

Tuntas, aku berpesan buat diriku dan kalian. Tulis lah apa sahaja yang kalian mahu, corakkan warna warni kehidupan kita dengan apa jua warnanya. Kerana hidup ini hidup kita. Dan kerana hanya satu buku untuk setiap manusia. Bila tiba noktah diletak, tiada lagi cerita yang boleh dicetak. Justeru, selagi pena masih bisa mengalirkan dakwat, selagi jiwa masih lahirkan rasa,curahkan ia ke dalam buku cerita mu,wahai sahabat. Ayuh, kita terus bercerita, dan pastikan cerita itu paling indah, paling meriah. Agar tersenyum sang anak dan cucu mahupun sekalian teman seperjuangan., membaca cerita kalian, bila aku dan kalian sudah tiada disisi mereka. Tulis lah…Jangan biarkan helaian itu kosong, tanpa cerita kasih dan sayang, tanpa berita suka dan riang, sekalipun singgah mendung menumpang..Tulis lah.

Ku tulis ini buat diri mu…Ya,Kamu!

images

Tulislah sebelum dianugerahkan NOKTAH!