Archive for December, 2011

Kritik = matang ??

Posted: December 29, 2011 in ABSARIA

Salam absarians. Lama tak ketemu. Bukan kerana tandusnya idea,tapi dek kerana tak berkesempatan menyapu mentega idea ini pada roti blog. : ) Absar tidak punya banyak masa skrg dek kerana sedang dalam proses menyiapkan sesuatu yang agak besar dalam hidup. Pun begitu ada sesuatu yang ingin absar kongsikan dengan kalian dalam mood teruja usai mendengar idea idea spontan daripada mahasiswa universiti tempat absar ‘dilahirkan’. Absar dijemput menjadi hakim bagi sebuah Pertandingan Pidato ala Parlimen. Menarik, itu tak dinafikan. Pentas inilah yang akan terus menghasilkan produk produk siswa berkualiti. Banyak isu yang menarik ingin absar kupas,namun yang satu ini perlu absar kedepankan.

Salah seorang peserta pidato ada berhujah yang beliau cukup yakin bahawa politik malaysia sudah semakin matang melihat kepada keadaan rakyat yang sudah pandai mengkritik kerajaan.Maknanya,ada kritikan dalam sesebuah negara,maka politik nya sudah matang. Sangat mudah mantiknya. Maka daripada pidato tersebut timbullah Hero Upsi ,Adam adli terus diangkat sebagai model atau hero modenisasi yang menzahirkan kritikannya pada pemimpinnya. Ini lambang kematangan mahasiswa.

Bukannya absar nak tunjukkan kematangan absar dengan mengkritik para pemidato yang absar akui ada kredibiliti tersendiri,cumanya absar tak dapat nak setuju tatkala pengzahiran emosi dengan tarian tempang dan songsang secara totalnya tidak sama kastanya dengan menzahirkan idea miranda seorang mahasiswa di pentas yang betul.

Secara perundangan setelah menganalisa tindakan Hero Adam adli,memang tiada klausa yang mengharamkan tindakan nya menurunkan bendera pemimpin tersebut,namun secara adab mahasiswa timur, beliau tidak patut dan tidak layak diangkat sebagai Ikon untuk mahasiswa.

Perlu diingat, seluruh mata dan akal intelektual sedang menganalisa tindak tanduk mahsiswa,sebelum benar benar menghalalkan mahasiswa untuk berpolitik secara terus dan telus. Tup tup, bila timbul kes adam adli ini,segelintir mahasiswa menganggap ini adalah wajah mahasiswa. Bagi Absar,negara Malaysia negara demokrasi.Semua layak bersuara. Tetapi Malaysia juga negara penuh dengan adab ketimuran ,mentelahan ini adalah negara Islam yang penuh dengan susila.Bila Adam adli bersuara dengan tingkah sebegitu, perlulah ada pihak yang membetulkannya. Jangan disokong sesuatu itu semata mata mahu melepaskan geram dan bukannya dengan menggunakan akal seorang mahasiswa apatah lagi sebagai rakyat yang berwibawa yang bakal menjadi pemimpin masyarakat kelak.

Perlu diingat,sebagai mahasiswa, tindak tanduk perlu berstrategi. Ada analisa untuk setiap tindakan. Buat,analisa,dan andai ada silap buat kembali dengan cara yang betul. Bagi saya,silap Adam adli ini masih boleh diampunkan. Saya yakin dengan frasa mahasiswa sebagai pelajar,tuntas kesalahan yang dibuat bagi seorang pelajar,perlu diberi pertimbangan yang lebih lembut.

Dalam kalangan pemidato semalam juga ada mengatakan bahawa rakyat yang diluar kampus universiti lebih matang berbanding dengan mahasiswa yang berada di dalam universiti.Katanya,di luar sana,mereka bebas berpolitik, mantik mudahnya,mereka lebih matang. Saya menyangkal kerana pada masa yang sama,tatkala sedang berlangsung pertandingan pidato,ada segelintir mahsiswa yang sedang melakukan soal selidik untuk mendapatkan respon daripada mahasiswa berkenaan dengan tahap kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar. Berada di dalam kampus, adalah tempat yang sesuai untuk melakukan persediaan bagi bergelar pemimpin diluar sana dan bergelumang lah dengan politik sepuas puasnya. Anda boleh terus belajar dan mempraktikkannya dalam persatuan atau kelab yang dipimpin. Tak perlu tunggu AUKU dipinda,cabar saja diri anda untuk memimpin persatuan.

Konklusinya,Absar ingin zahirkan ketidakselesaan tatkala ada yang berpendapat dan mengukur kematangan berdasarkan kebolehan mengkritik. Matang perlu diukur melihat banyak aspek,mengutarakan pandangan dan kritikan hanyalah sekumit dan sekelumit daripada definisi matang. Mengkritik bukan sekadar bersenjata lidah yang tak bertulang,tapi perlu didepankan dan dipandu dengan otak dan akal lebih lebih lagi jika anda seorang mahasiswa,bukannya dengan cara menurunkan bendera orang lain tetapi gunakan saluran yang diberi yang halal lagi beradab.Ingat,andai emosional melampaui rasional,tindakan mulia pun boleh jadi hina. Kritiklah,tapi selepas kamu berfikir ,berfikir dan berfikir.

Sukarnya menghargai…

Posted: December 14, 2011 in ABSARIA
Tags:

Terasa seperti sudah segalanya diberi,segalanya dipenuhi dan segalanya terlah dilakukan dengan sepenuh hati,namun apa yang kembali diberi tidak seperti yang diimpi. PENGHARGAAN abstrak dan subjektif sifatnya. Terkadang cukup sekadar dengan senyuman,terkadang pula perlu diberi sepenuh tumpuan. Soalnya adakah kita cukup menghargai?

Asal daripada perkataan ‘Harga’, sifat menghargai ini sangat diperlukan bagi memeriahkan dan mewarnakan kehidupan insan. Ada yang putus sahabat, hanya kerana kurang pernghargaan. Tak kurang pula bagi mereka yang berpasangan,tatkala merasa diri langsung tidak dihargai. Sudah lah penat mencari rezeki,pulang ke rumah terus dileteri sang suami atau si isteri. Soalnya lagi, perlukah menghargai?

Jawapannya perlu tanya pada hati,sejauh mana anda pula mahu dihargai.Saya sentiasa berpesan, memberi jangan mengharap untuk menerima kembali. Kekadang hampir menangis hati ini kesakitan hanya kerana menjaga hati seorang kawan. Dipendam dan ditelan,namun riak sang kawan umpama jalaraya yang dipijak orang,tiada hati apalagi perasaan. (Ayuh pijak jalan itu ramai ramai :>).

Luahan ini sebenarnya dirujuk pada diri sendiri dan sesiapa yang terasa terkena pada batang hidung sendiri. Sedarlah, ramai yang telah sakit kerana kamu. Ramai yang menangisi dek kerana lidah mu membeku mahu mengucapkan ‘Terima Kasih’, sebagai tanda penghargaan. Banyak pula situasi haprak tatkala otak mu lupa menzahir kata ‘maaf’ tatkala silap kau lakukan sebagai tanda menghargai sebuah hubungan. Sering pula kau juga menangis sendiri kerana rindu pada seseorang , namun kau telan dan tenggelam dengan keegoaan mu yang akhirnya tenggelam bersama dengan sifat menghargai sebuah perhubungan.

Namun terkadang, bukannya aku lupa cara untuk menghargai diri kalian. Pagi ini,deringan telefon tidak ku jawab, SMS pula tidak ku balas…ini bukan kerana aku tidak menghargai mu. Tapi kerana tugasan yang bertimbun. Semalam,soalan mu tak ku isi dengan jawapan, senyum mu tak ku sambut, ajakkan mu pula tak dapat ku ikut, bukan kerana aku tidak menghargai kamu,tapi kerana aku kepenatan dan kurang sihat dek kerana desakan hidup demi masa depan.

Maka saya simpulkan, terkadang memahami diri teman itu sendiri adalah sebuah PENGHARGAAN. Memahami tanpa perlu untuk berkata namun cukup dengan memendam hati dan rasa. Memahami terkadang pula perlu untuk menjadi pendengar yang baik,terkadang juga perlu menjadi teman bicara yang bijak dan terkadang pula menjadi teman dalam diam. Cumanya,jangan biarkan diri atau orang lain merasa diri mereka tidak dihargai dengan alasan bahawa anda memahami,namun kerana memahami lah anda diam tanpa bicara,sehingga mereka pergi membawa hati yang dilukai.

Terima kasih,maaf dan saya hargai anda semua. Sayang yang tiada tepian walau suara lafaznya tidak kedengaran. Moga kita sentiaza menzahirkan dan melafazkan sebuah PENGHARGAAN pada mereka yang menghargai kita..Mama, Abah,Kawan dan sahabat..ucaplah rasa penghargaan sementara masa masih dalam kesempatan.: >

Debat Is CINTA.

Posted: December 4, 2011 in ABSARIA

Salam Absarians. Semalam saya berseronok menyelam dan berenang dalam lautan manusia yang berkumpul dalam Dewan Besar UniSZA bagi menyaksikan sejarah Pertandingan Debat Piala Naib Canselor samada piala itu terus kekal dalam tangan Fakulti Undang undang atau beralih arah kepada seteru tradisinya,Fakulti Kontemporari Islam. Benar, ini cara saya berseronok setelah menghadapi dan berdepan timbunan fail dan kes yang tak pernah selesai di firma.

Dunia debat universiti cukup memberi bekalan nafas kepada saya untuk terus hidup di dunia sebenar. Maka kerana itu lah saya memilih untuk terus berdamping dengan universiti tak kiralah di Uitm,Unisza mahupun UMT. Helaan nafas seakan kembali segar bila bergelomang dengan sang pencinta debat di sana.

Tatkala saya meletakkan tajuk entri kali ini ‘Debat is CINTA’, saya benar benar maksudkannya. Kata orang,bila sudah dirasuk momok cinta,dunia sang pencinta sudah tidak lagi sama dengan dunia manusia biasa. Mengapa? ..Kerana :-

Biar ramai yang tak suka, kita tetap dengan cinta kita.

Biarlah ramai yang menghalang jalanan,tetap dicari helah untuk sampai diperhentian cinta.

Biar ramai mengutuk dan mengata, cinta itu pasti terus bertakhta.

Biar dilayan seperti anjing sekali pun, cinta ini terus ditantang dan dijulang.

Biarlah duka meratah jiwa,asal cinta ini terpelihara.

Kerana itu lah sang pencinta dikata seperti gila dan buta.

Pedulikan apa yang dikata,kita tetap dengan dunia dan cinta kita.

Pesan seorang guru dalam dunia perdebatan,’when u put debate as ur priority,just ignore the useless matters..debate is bigger than anything’. Sangat telus dan tulus. Jika kamu cinta akan sesuatu,saya yakin,kamu pasti tidak akan ambil peduli segala perkara negetif yang memadamkan api cinta kamu. Biarlah dikutuk kerana tak pernah menjuarai apa apa pertandingan, biarlah dicemuh kerana tersasul atau tersilap kata, hatta dikeji dan diumpamakan seperti sampah yang boleh dikitar semula,pasti itu akan lebih menyemarakkan api cinta yang dijulang.

Dalam perdebatan, perkara yang paling rapat dengan saya adalah kepercayaan , persahabatan dan ukhuwah dalam kekeluargaan. Maka ,apa yang perlu adalah menyeimbangkan antara emosi dan tujuan hidup dalam dunia debat. Terkadang terlalu memberi fokus kepada emosi,hingga rasional tidak lagi mampu berdiri. Bagi yang baru dirasuk cinta ini,andai ada pertembungan emosi dan rasional,berhenti dan berdiamlah seketika,dan pilihlah rasional sebagai alas perjalanan hidup debat kamu. Terlalu banyak emosional yang terlepas boleh merosakkan kualiti cinta. Ramai yang berhenti bercinta,hanya kerana emosi yang tidak ke mana. Andai dipuji mahupun dikeji,jadikan itu sebagai motivasi. Bukan untuk sesiapa,tapi untuk diri sendiri.

 Fokus kepada matlamat cinta. Andai cinta manusia matlamatnya ke jinjang pelamin, maka matlamat cinta debat itu adalah kepuasan diri dan jiwa. Setiap kali selesai berdebat,kepuasan itu menjadi persoalan penting. Kalah menang usah dikira. Andai menang itu seolah bonus buat kita.Andai kalah pula,itu adalah sebahagian daripada kemenangan hakikatnya. Terus mencari kepuasan dan kepuasan itu pula berbeza waktu munculnya dalam diri setiap pencinta.

Saya nekad untuk terus bercinta, walau apa jua pahit maungnya : )…anda bagaimana?