Archive for November, 2011

Setia kah aku dan kamu ?

Posted: November 28, 2011 in ABSARIA

Kesetiaan adalah  satu tunjang dalam sebuah kehidupan lebih lebih lagi dalam sebuah perhubungan.Tanpa mengira status kepada perhubungan,samada kawan,rakan,sahabat,teman seperjuangan hinggalah kepada ikatan suami dan isteri.

Hubungan setiakawan lumrahnya ada yang dicemari dengan virus “curang’ pada prinsip persahabatan atau dengan lebih dekat, khianat pada cinta seorang teman. Tanpa ada janji khusus dan telus, ikatan disimpulkan dengan simpulan senyuman yang pertama dan diteruskan dengan bibit persahabatan yang indah. Episod pertengahan merupakan episod kemuncak dalam menilai kesungguhan dalam diri watak watak perhubungan tersebut untuk mempertahankan manis yang berpanjangan dan menenggelamkan sekelumit pahit yang timbul di jalanan.Ada cerita persahabatan ini tamat hanya dengan kepahitan sebutir kecurangan pada prinsip persahabatan, ada jua yang berakhir seiring berakhirnya nafas dan perpisahan itu seiring juga dengan perpisahan roh daripada jasad.Konklusi diskusi ringkas ini adalah,dalam cinta sebuah persahabatan,watak watak filem perhubungan inilah yang akan menentukan samada mahu menelan sekelumit ego dan kepahitan demi sebuah kemanisan yang berpanjangan. Benar,kita lah yang menentukan. Ambil lah sedikit masa,berfikir dan berfikir,samada wajar diteruskan ataupun tidak. Saya tidak menafikan,bahawa tidak semua persahabatan itu indah,tidak semua watak itu bijak dan pandai dalam menjaga hati watak yang lain kerana dunia tidak pernah sempurna dan hanya kitalah yang boleh menyempurnakannya. Tuntas,ambillah masa,hela lah nafas sepanjangnya ,dan buatlah keputusan bagaimanakah kita sebagai pengarah filem persahabatan ini ,mahu filem ini berakhir, samada dengan bibit indah atau menamatkannya dengan air mata dan berpisah.

Bagi perhubungan dalam perkahwinan, tentunya menagih lebih  kesetiaan. Isteri dan suami perlu sentiasa menilai dan mempertingkatkan kesetiaan antara satu sama lain. Seawal aqad dibaca,sejurus khutbah dibicara dan seterang janji diutara, si suami sudah pun mengangkat janji janji kesetiaan kepada si isteri.Bila sudah dahi dan tangan dikucup,maka pelaksanaan janji kesetiaan tadi telah bermula. Tanda nya terang,ikatan disimpulkan dengan  sebentuk cincin menjadi tanda,dan ramai pula insan yang akan menjadi saksi .

Ada perhubungan pernikahan ini kekal hingga ke akhir nyawa,namun tak kurang yang berakhir dengan talak yang tiada siapa pun suka.Tuntas,selaku pengarahnya,si suami perlu bijak mengarah filem ini sebaiknya.Bangkitkan kesetian dan apungkan bibit kemesraan dan keindahan pada setiap inci perhubungan. Setia seorang suami,perlu memastikan  si isteri berada dalam keadaan selamat dan bahagia. Sama keadaannya dengan si isteri,perlu memastikan keselesaan dan ketenangan si suami dan bukannya memeningkan dan menyerabutkan lagi si suami.

Konklusi diskusi setia dalam cerita suami dan isteri,setia itu banyak cabangnya. Bagi saya, paling penting adalah bagaimana setiap watak di dalamnya menjaga kesetiaan itu supaya tidak wujud langsung persoalan cemburu yang akhirnya mewujudkan rasa tidak percaya dalam diri pasangan. Biarpun saya belum lagi punyai puteri yang bertakhta di hati,apatah lagi si isteri yang sentiasa dinanti dek hati,namun saya percaya,setia itulah penentu kepada segala perhubungan. Orang yang setia,tidak meletakkan kepentingan dan keegoan diri sebagai yang pertama,tapi meletakkan kelangsungan perhubungan sebagai kepentingan. Orang yang setia,tidak akan melihat pertengkaran itu sebagai sebuah perngakhiran,tetapi sebagai permulaan kepada sebuah persefahaman. Orang yang setia juga,tidak akan menyalahkan pasangan atau pun teman kerana sebuah kesilapan,kerana dia tahu,hubungan itu tidak hadir dalam keadaan yang sempurna,tetapi dalam keadaan yang perlu disempurnakan. Tuntas,ayuhlah kita menjadi sebahagian insan yang menyempurnakan perhubungan dengan menjadi insan yang setia: )

Entry ini juga mahu membingkiskan ucapan bangga dan gembira buat Sahabat,adik, teman berbincang,rakan menangis,kawan bertengkar dan pelbagai lagi, yang telah menamatkan zaman bujangnya dengan insan tercinta dan bagi saya juga pasangan beliau adalah seorang yang amat istimewa kerana kesetiaanya yang tidak berbelah bahagi. Tentunya kepada Puan Nurul Ain Binti Mat Rahim dan pasangannya yang setia En yusri (sir yus). Moga keindahan dalam perhubungan sentiasa bertiup dan penamatnya adalah siri kedua cerita cinta ini di syurga yang kekal abadi.Amin…Tahniah Sahabat ku .

Tahniah Sir..Saya kagum dengan dengan kesetiaan kamu,moga saya juga setia seperti kamu,namun bukan lagi pada seribu gadis tetapi pada seorang puteri yang bakal bertakhta di hati..Hehe. : )

Saat bingung sambil termenung…

Posted: November 26, 2011 in ABSARIA

Saat bingung sambil termenung ,ralik dan asyik melihat ragam manusia yang sedang meraikan tahun baru hijrah di kompleks membeli belah dengan ratusan wang yang dibelanjakan. Ada yang sibuk mempromosikan produk,tak kurang pula yang sibuk menatap keindahan ciptaan tuhan.

Saat bingung sambil termenung,ziarah pula suatu peristiwa marah ke pondok usang pemikiran.Terfikir sang fakir fikir  akan sebab manusia marah.Apa sebab si Ibu marah pada anaknya? Apa sebab kawan marah pada rakannya? dan Apa sebab ketua marah pada anak buahnya? Kata si fakir fikir,semuanya kerana si anu ini tidak memenuhi apa yang si anu lain mahukan. Itu saja sebab yang mampu difikir oleh sang fakir fikir.

Saat bingung sambil termenung,diri ini mengiyakan kata sang fakir fikir. Kata wanita pada lelaki,’Aku benci kamu kerana kamu tak setia’, marahnya dia kerana sang lelaki tidak memenuhi apa yang dimahukannya.Kata pembeli kepada penjual,’Kenapa masakan kamu sebegini teruk?!’, Marahnya kerana masakan itu tidak memenuhi seperti apa yang diinginkan.Benar,semuanya kerana sesuatu yang tidak memenuhi apa yang dihajati.

Saat bingung sambil termenung,tangan yang tadi menongkat dagu disilang pula memeluk tubuh,nafas dihela panjang,rupanya aku juga kerap marah. Semuanya kerana apa yang aku hajati tidak pula dipenuhi dan ditepati.Soalnya siapa aku untuk hajat itu dipenuhi dan ditaati? Soalnya kenapa pula hajat itu perlu mereka penuhi dan perlu pula mereka patuhi? dan soalnya yang terakhir,apa hak dan kapasiti diri ini untuk marah bila semua itu tidak menjadi seperti yang diingini?

Saat binggung sambil termenung,wajah dihadap ke langit,kaki mula dikendurkan,aku sekali lagi mengiyakan,bahawa aku bukan sesiapa.Kalau Ibu,Abah,pemimpin dan guru,mereka marah,marah mereka  kerana tanggungjawab. Andai itu kapasiti dan hak yang ada,pasti marah itu wajib wujud tanpa ada rasa ragu dan bersalah.Tapi jika aku marah dan ketika itu marah ku kerana aku adalah aku,maka wajar untuk kau kembali marah pada aku kerana aku hanyalah aku,bukan ibu,abah,pemimpin mahupun guru.Apa yang ada pada diriku,cukup sekadar untuk simpan marah itu,biar pun merah memerah rasa marah,harus aku sedar marah itu hanya berhak bagi mereka yang punya hak.

Saat binggung sambil termenung,kaki ku mula melonjak  sudah mahu mengukir langkah. Aku mahu berhenti marah,kerana aku hanya aku,bukan ibu ,abah,pemimpin mahupun guru. Kaki sudah mula mengorak langkah,namun langkah ku tetap bersama saat yang bingung namun tidak lagi termenung,kerana jawapan yang hilang,kini sudah ku temu.Marah bukan hak aku,tapi hak mereka yang punya rasa tanggungjawab. : )

<P/s: MAAF KIRANYA AKU MARAH SAAT AKU ADALAH AKU.BENAR,DAN SEBENARNYA AKU MEMOHON MAAF WALAU SAAT AKU MASIH BINGUNG DAN TERUS TERMENUNG>

Sebenarnya…

Posted: November 25, 2011 in ABSARIA

Sebenarnya,aku tersangat benci…

Sebenarnya,aku tersangat mahu..

Sebenarnya aku tersangat sedih…

Sebenarnya aku tersangat rindu…

Sebenarnya aku tersangat cemburu..

Namun yang sebenarnya itu sentiasa digelapkan…

Maka yang palsu itu terhampar…

Setengah mengatakannya Hipokrit,

Setengah pula memanggilnya memendam rasa,

Tak kurang pula menngelarkan ‘Penyakit telan saja demi mereka’

Ini yang aku mahu cerita,

aku lebih bersedia untuk ‘terus telan saja’..

Tapi hari ini,yang Sebenarnya itu pula yang terdampar ditepian bibir,

Pantas dan lancar saja katanya,

Jelas dan jernih saja wajah bencinya,

Telus dan cetus saja cemburunya…

Sebenarnya sudah menjadi benar dan sebenarnya,

Tapi kala dan kali ini aku lebih selesa dan ceria,

Maka konklusi diskusi ini,

Pancar dan damparkan saja yang Sebenarnya itu,

Percayalah wajah yang benar dan membenarkan bakal terpancar,

Maka barulah kamu yang sebenarnya akan lahir dan zahir ke dunia sebenar.

Membuat pilihan sudah menjadi kewajiban dalam kehidupan seharian. Mahu ke kiri atau ke kanan, mahu berhenti atau terus berjalan, mahu membina atau merobohkan atau mahu terus  menghidupkan hidup atau membiarkan hidup ,mati hidup-hidup. Buat saja pilihan itu,kerana dengan pilihan kita belajar erti kehidupan. Kata Mat salleh, ‘ we learn from mistake’. Tapi kata Mohd Bin Salleh, kita belajar daripada kesilapan : ).

Ramai orang gentar dan gusar bila berdepan dengan pilihan.Terkadang pilihan itu datang bukan calang calang. Datang pula bergerombolan. Terkadang soal masa depan,terkadang pula soal picisan. Namun,pilihan tetap pilihan . Sesuatu perlu dipilih menjadi keputusan.Paling penting analisa segala aspek pilihan yang datang. Baik dan buruk suatu pilihan sudah tentu wajib disenaraikan. Usai menyenaraikan,rujuk lah pada matlamat dan tujuan anda dihidupkan.Percayalah, ia kan lebih senang dan menyenangkan.

Contoh menarik dan paling buat kita tertarik ialah dalam soal memilih teman dalam kehidupan. Senaraikan kebaikan dan keburukan . kemudian lihat apa matlamat kita dihidupkan . Tentu saja mengabdikan diri pada tuhan. Tuntas,pilih saja yang beriman ,kerana itu juga pesan Nabi sanjungan.

Bila berdepan soal kehidupan, terutamanya dalam membuat perubahan, pastinya banyak kekangan. Kebiasaan yang saya terangkan kepada adik adik pendebat mahupun Junior dalam bidang pengurusan ataupun undang undang,anda mungkin kehilangan kawan bila anda memilih untuk melakukan perubahan. Tetapi sekali lagi teknik dan taktik sama dilakukan. Analisa baik dan buruk,kemudian lihat pada matlamat anda dihidupkan. Ia, benar, Tuhan lebih sukakan mukmin yang kuat dan menguatkan. Tuntas, berubah untuk menjadi lebih baik dan lebih kuat merupakan matlamat Muslim sejati. Percayalah ,lebih baik hilang kawan yang segan pada perubahan daripada hilang masa depan yang menjadi lambang kekuatan hasil daripada sebuah perubahan.

Benar terkadang tersadung dan terkedu dek pilihan yang tidak tepat. Tetapi itulah yang menjadikan manusia lebih dewasa dan hebat. Pilihan akan sentiasa datang dan tanpa jemu ia akan terus menduga. Namun kita manusia,perlu sentiasa bersedia.Teruslah menganalisa baik dan buruknya dan salurkan ia pada matlamat kejadian manusia. Jangan sesekali sia siakan pilihan hanya untuk meraikan taulan dan teman,tanpa mengangkat amanat dari tuhan.

P/s : Pilihlah untuk menjadi yang TERPILIH, kerana yang TERPILIH itu adalah permata di antara ribuan PILIHAN.

memilih untuk terus memilih.

Posted: November 4, 2011 in ABSARIA

Bila sudah namanya insan,susah dan mudah menjadi rencah dan perencah kehidupan. Dalam meredah susah mencicah mudah,lumrah memilih untuk terus memilih menjadi permaidani yang wajib dijejaki dan dijijaki demi melunas hajatnya insan untuk sampai ke destinasi,yang serasi dan yang menyedapkan hati.

Aku ,kita dan kamu,memilih dan perlu terus untuk memilih. Terkadang penat dan tenat dalam memilih. Banyak cabang kehidupan menjadi pemberat kepada pilihan. Bagi sang keldai,pemberatnya apa saja yang mengenyangkan temboloknya. Bagi Sang katak,apa saja yang tercapai dek lidahnya. Bagi sang singa,pemberatnya apa saja yang risau pada ngaumannya. Tak lupa pada sang lebah,apa saja yang termampu oleh sayapnya.

Bagi manusia pula,pemberatnya apa saja yang memudahkan hidupnya. Pada sang Khalifah, apa saja untuk Islam dan Tuhannya. Buat sang Penatang Wasotiah, apa saja demi menyempurnakan dunianya tanpa melupakan akhiratnya. Buat Pencinta Dunia,tentu saja harta dan takhta dunia yang dikejarnya.

Sekali lagi,pilihlah…memilih untuk terus memilih…mana yang kamu mau pilih.

P/s : Terkadang perlu juga memilih untuk berhenti memilih…Redho dengan apa yang sudah Dia pilih..: )