Archive for January 20, 2011

 

Benar,dunia debat mengasah diri ini berfikir. Apakah maknanya apabila tidak berada di dunia debat itu tidak berfikir? Persoalan simplistik ini timbul kerana kenyataan mudah yang diangkat sebagai mukaddimah. Benar,pelbagai interpretasi akan berkumandang dari pelbagai corak pemikiran.  Namun apa yang pasti,anda perlu dan mesti berfikir bila anda berdebat.Paksaan untuk berfikir inilah yang akhirnya membezakan corak pemikiran pendebat dengan pemikir yang lain.Benar,membaca dan mengkaji juga berfikir. Namun fikir itu hanyalah sehaluan. Berdebat kita sentiasa mencari Pro dan Kontranya. Benar, mengira juga berfikir. Namun kira kira sang pendebat sentiasa berbeza jawapannya daripada skema jawapan. Perbezaan jawapan ini  juga direntetkan dengan rasional perbezaan. Tuntas,melahirkan insan yang rasional dan terbuka pemikirannya. Bukan yang rigid dan emosional pendiriannya.

Sementang hebat mana pun pendebat itu berfikir,fikir itu sewajarnya diheret ke dalam solat. Kerana itulah saya menyambung phrasa premis ini dengan ayat…muhasabahku dalam solat. Setiap gerak dalam solat,perlu kepada rasional dan intrepertasi. Kita solat dan kita berfikir. setiap gerak dalam solat ada falsafahnya. Andai terasa hebat di dunia yang tiada pasti,akhirnya anda tersungkur ke tanah dalam sujud pada Nya.. Walau agung mana ada di dunia yang realiti mahupun dunia debat sekalipun,rukuk anda tiada bezanya keadaan binatang berkaki empat.Kerana itulah Tuhan berpesan,yang membezakan kita adalah takwa dan taat. Pesan ustaz,pabila rukuk,fikirlah dan ingatlah ke mana kaki ini melangkah.Ke tempat maksiat kah atau ke tempat ibadah.

Pesan ustaz lagi, bila berdoa,fikirlah dan lihatlah,apa yang tangan ini sudah buat,amalkah, atau azabkah. Pendek kata,asas pemikiran dalam debat perlu diheret dan dimanfaatkan dalam solat. Sepanjang permulaan sem baru ini,saya tersentak dan tersentap,begitu banyak masa saya ,hanya menjurus kepada keduniaan semata. Tikar sejadah tak pernah panas dan puas untuk bermuhasabah dan bermujahadah. Sebaliknya,terasa dunia memanggil manggil menyediakan tikar yang lebih empuk untuk di duduk.

Diri ini menulis agar batang tubuh ini tidak terlupa,biarpun dunia fana yang dikejar,namun dunia kekal perlu dikendong dan dibimbit sentiasa. Juga sentiasa berdoa agar tidak menjadi seperti pepatah ‘yang dikejar tak dapat,yang dikendong berciciran.’