Kritik = matang ??

Posted: December 29, 2011 in ABSARIA

Salam absarians. Lama tak ketemu. Bukan kerana tandusnya idea,tapi dek kerana tak berkesempatan menyapu mentega idea ini pada roti blog. : ) Absar tidak punya banyak masa skrg dek kerana sedang dalam proses menyiapkan sesuatu yang agak besar dalam hidup. Pun begitu ada sesuatu yang ingin absar kongsikan dengan kalian dalam mood teruja usai mendengar idea idea spontan daripada mahasiswa universiti tempat absar ‘dilahirkan’. Absar dijemput menjadi hakim bagi sebuah Pertandingan Pidato ala Parlimen. Menarik, itu tak dinafikan. Pentas inilah yang akan terus menghasilkan produk produk siswa berkualiti. Banyak isu yang menarik ingin absar kupas,namun yang satu ini perlu absar kedepankan.

Salah seorang peserta pidato ada berhujah yang beliau cukup yakin bahawa politik malaysia sudah semakin matang melihat kepada keadaan rakyat yang sudah pandai mengkritik kerajaan.Maknanya,ada kritikan dalam sesebuah negara,maka politik nya sudah matang. Sangat mudah mantiknya. Maka daripada pidato tersebut timbullah Hero Upsi ,Adam adli terus diangkat sebagai model atau hero modenisasi yang menzahirkan kritikannya pada pemimpinnya. Ini lambang kematangan mahasiswa.

Bukannya absar nak tunjukkan kematangan absar dengan mengkritik para pemidato yang absar akui ada kredibiliti tersendiri,cumanya absar tak dapat nak setuju tatkala pengzahiran emosi dengan tarian tempang dan songsang secara totalnya tidak sama kastanya dengan menzahirkan idea miranda seorang mahasiswa di pentas yang betul.

Secara perundangan setelah menganalisa tindakan Hero Adam adli,memang tiada klausa yang mengharamkan tindakan nya menurunkan bendera pemimpin tersebut,namun secara adab mahasiswa timur, beliau tidak patut dan tidak layak diangkat sebagai Ikon untuk mahasiswa.

Perlu diingat, seluruh mata dan akal intelektual sedang menganalisa tindak tanduk mahsiswa,sebelum benar benar menghalalkan mahasiswa untuk berpolitik secara terus dan telus. Tup tup, bila timbul kes adam adli ini,segelintir mahasiswa menganggap ini adalah wajah mahasiswa. Bagi Absar,negara Malaysia negara demokrasi.Semua layak bersuara. Tetapi Malaysia juga negara penuh dengan adab ketimuran ,mentelahan ini adalah negara Islam yang penuh dengan susila.Bila Adam adli bersuara dengan tingkah sebegitu, perlulah ada pihak yang membetulkannya. Jangan disokong sesuatu itu semata mata mahu melepaskan geram dan bukannya dengan menggunakan akal seorang mahasiswa apatah lagi sebagai rakyat yang berwibawa yang bakal menjadi pemimpin masyarakat kelak.

Perlu diingat,sebagai mahasiswa, tindak tanduk perlu berstrategi. Ada analisa untuk setiap tindakan. Buat,analisa,dan andai ada silap buat kembali dengan cara yang betul. Bagi saya,silap Adam adli ini masih boleh diampunkan. Saya yakin dengan frasa mahasiswa sebagai pelajar,tuntas kesalahan yang dibuat bagi seorang pelajar,perlu diberi pertimbangan yang lebih lembut.

Dalam kalangan pemidato semalam juga ada mengatakan bahawa rakyat yang diluar kampus universiti lebih matang berbanding dengan mahasiswa yang berada di dalam universiti.Katanya,di luar sana,mereka bebas berpolitik, mantik mudahnya,mereka lebih matang. Saya menyangkal kerana pada masa yang sama,tatkala sedang berlangsung pertandingan pidato,ada segelintir mahsiswa yang sedang melakukan soal selidik untuk mendapatkan respon daripada mahasiswa berkenaan dengan tahap kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar. Berada di dalam kampus, adalah tempat yang sesuai untuk melakukan persediaan bagi bergelar pemimpin diluar sana dan bergelumang lah dengan politik sepuas puasnya. Anda boleh terus belajar dan mempraktikkannya dalam persatuan atau kelab yang dipimpin. Tak perlu tunggu AUKU dipinda,cabar saja diri anda untuk memimpin persatuan.

Konklusinya,Absar ingin zahirkan ketidakselesaan tatkala ada yang berpendapat dan mengukur kematangan berdasarkan kebolehan mengkritik. Matang perlu diukur melihat banyak aspek,mengutarakan pandangan dan kritikan hanyalah sekumit dan sekelumit daripada definisi matang. Mengkritik bukan sekadar bersenjata lidah yang tak bertulang,tapi perlu didepankan dan dipandu dengan otak dan akal lebih lebih lagi jika anda seorang mahasiswa,bukannya dengan cara menurunkan bendera orang lain tetapi gunakan saluran yang diberi yang halal lagi beradab.Ingat,andai emosional melampaui rasional,tindakan mulia pun boleh jadi hina. Kritiklah,tapi selepas kamu berfikir ,berfikir dan berfikir.

Sukarnya menghargai…

Posted: December 14, 2011 in ABSARIA
Tags:

Terasa seperti sudah segalanya diberi,segalanya dipenuhi dan segalanya terlah dilakukan dengan sepenuh hati,namun apa yang kembali diberi tidak seperti yang diimpi. PENGHARGAAN abstrak dan subjektif sifatnya. Terkadang cukup sekadar dengan senyuman,terkadang pula perlu diberi sepenuh tumpuan. Soalnya adakah kita cukup menghargai?

Asal daripada perkataan ‘Harga’, sifat menghargai ini sangat diperlukan bagi memeriahkan dan mewarnakan kehidupan insan. Ada yang putus sahabat, hanya kerana kurang pernghargaan. Tak kurang pula bagi mereka yang berpasangan,tatkala merasa diri langsung tidak dihargai. Sudah lah penat mencari rezeki,pulang ke rumah terus dileteri sang suami atau si isteri. Soalnya lagi, perlukah menghargai?

Jawapannya perlu tanya pada hati,sejauh mana anda pula mahu dihargai.Saya sentiasa berpesan, memberi jangan mengharap untuk menerima kembali. Kekadang hampir menangis hati ini kesakitan hanya kerana menjaga hati seorang kawan. Dipendam dan ditelan,namun riak sang kawan umpama jalaraya yang dipijak orang,tiada hati apalagi perasaan. (Ayuh pijak jalan itu ramai ramai :>).

Luahan ini sebenarnya dirujuk pada diri sendiri dan sesiapa yang terasa terkena pada batang hidung sendiri. Sedarlah, ramai yang telah sakit kerana kamu. Ramai yang menangisi dek kerana lidah mu membeku mahu mengucapkan ‘Terima Kasih’, sebagai tanda penghargaan. Banyak pula situasi haprak tatkala otak mu lupa menzahir kata ‘maaf’ tatkala silap kau lakukan sebagai tanda menghargai sebuah hubungan. Sering pula kau juga menangis sendiri kerana rindu pada seseorang , namun kau telan dan tenggelam dengan keegoaan mu yang akhirnya tenggelam bersama dengan sifat menghargai sebuah perhubungan.

Namun terkadang, bukannya aku lupa cara untuk menghargai diri kalian. Pagi ini,deringan telefon tidak ku jawab, SMS pula tidak ku balas…ini bukan kerana aku tidak menghargai mu. Tapi kerana tugasan yang bertimbun. Semalam,soalan mu tak ku isi dengan jawapan, senyum mu tak ku sambut, ajakkan mu pula tak dapat ku ikut, bukan kerana aku tidak menghargai kamu,tapi kerana aku kepenatan dan kurang sihat dek kerana desakan hidup demi masa depan.

Maka saya simpulkan, terkadang memahami diri teman itu sendiri adalah sebuah PENGHARGAAN. Memahami tanpa perlu untuk berkata namun cukup dengan memendam hati dan rasa. Memahami terkadang pula perlu untuk menjadi pendengar yang baik,terkadang juga perlu menjadi teman bicara yang bijak dan terkadang pula menjadi teman dalam diam. Cumanya,jangan biarkan diri atau orang lain merasa diri mereka tidak dihargai dengan alasan bahawa anda memahami,namun kerana memahami lah anda diam tanpa bicara,sehingga mereka pergi membawa hati yang dilukai.

Terima kasih,maaf dan saya hargai anda semua. Sayang yang tiada tepian walau suara lafaznya tidak kedengaran. Moga kita sentiaza menzahirkan dan melafazkan sebuah PENGHARGAAN pada mereka yang menghargai kita..Mama, Abah,Kawan dan sahabat..ucaplah rasa penghargaan sementara masa masih dalam kesempatan.: >

Debat Is CINTA.

Posted: December 4, 2011 in ABSARIA

Salam Absarians. Semalam saya berseronok menyelam dan berenang dalam lautan manusia yang berkumpul dalam Dewan Besar UniSZA bagi menyaksikan sejarah Pertandingan Debat Piala Naib Canselor samada piala itu terus kekal dalam tangan Fakulti Undang undang atau beralih arah kepada seteru tradisinya,Fakulti Kontemporari Islam. Benar, ini cara saya berseronok setelah menghadapi dan berdepan timbunan fail dan kes yang tak pernah selesai di firma.

Dunia debat universiti cukup memberi bekalan nafas kepada saya untuk terus hidup di dunia sebenar. Maka kerana itu lah saya memilih untuk terus berdamping dengan universiti tak kiralah di Uitm,Unisza mahupun UMT. Helaan nafas seakan kembali segar bila bergelomang dengan sang pencinta debat di sana.

Tatkala saya meletakkan tajuk entri kali ini ‘Debat is CINTA’, saya benar benar maksudkannya. Kata orang,bila sudah dirasuk momok cinta,dunia sang pencinta sudah tidak lagi sama dengan dunia manusia biasa. Mengapa? ..Kerana :-

Biar ramai yang tak suka, kita tetap dengan cinta kita.

Biarlah ramai yang menghalang jalanan,tetap dicari helah untuk sampai diperhentian cinta.

Biar ramai mengutuk dan mengata, cinta itu pasti terus bertakhta.

Biar dilayan seperti anjing sekali pun, cinta ini terus ditantang dan dijulang.

Biarlah duka meratah jiwa,asal cinta ini terpelihara.

Kerana itu lah sang pencinta dikata seperti gila dan buta.

Pedulikan apa yang dikata,kita tetap dengan dunia dan cinta kita.

Pesan seorang guru dalam dunia perdebatan,’when u put debate as ur priority,just ignore the useless matters..debate is bigger than anything’. Sangat telus dan tulus. Jika kamu cinta akan sesuatu,saya yakin,kamu pasti tidak akan ambil peduli segala perkara negetif yang memadamkan api cinta kamu. Biarlah dikutuk kerana tak pernah menjuarai apa apa pertandingan, biarlah dicemuh kerana tersasul atau tersilap kata, hatta dikeji dan diumpamakan seperti sampah yang boleh dikitar semula,pasti itu akan lebih menyemarakkan api cinta yang dijulang.

Dalam perdebatan, perkara yang paling rapat dengan saya adalah kepercayaan , persahabatan dan ukhuwah dalam kekeluargaan. Maka ,apa yang perlu adalah menyeimbangkan antara emosi dan tujuan hidup dalam dunia debat. Terkadang terlalu memberi fokus kepada emosi,hingga rasional tidak lagi mampu berdiri. Bagi yang baru dirasuk cinta ini,andai ada pertembungan emosi dan rasional,berhenti dan berdiamlah seketika,dan pilihlah rasional sebagai alas perjalanan hidup debat kamu. Terlalu banyak emosional yang terlepas boleh merosakkan kualiti cinta. Ramai yang berhenti bercinta,hanya kerana emosi yang tidak ke mana. Andai dipuji mahupun dikeji,jadikan itu sebagai motivasi. Bukan untuk sesiapa,tapi untuk diri sendiri.

 Fokus kepada matlamat cinta. Andai cinta manusia matlamatnya ke jinjang pelamin, maka matlamat cinta debat itu adalah kepuasan diri dan jiwa. Setiap kali selesai berdebat,kepuasan itu menjadi persoalan penting. Kalah menang usah dikira. Andai menang itu seolah bonus buat kita.Andai kalah pula,itu adalah sebahagian daripada kemenangan hakikatnya. Terus mencari kepuasan dan kepuasan itu pula berbeza waktu munculnya dalam diri setiap pencinta.

Saya nekad untuk terus bercinta, walau apa jua pahit maungnya : )…anda bagaimana?

Setia kah aku dan kamu ?

Posted: November 28, 2011 in ABSARIA

Kesetiaan adalah  satu tunjang dalam sebuah kehidupan lebih lebih lagi dalam sebuah perhubungan.Tanpa mengira status kepada perhubungan,samada kawan,rakan,sahabat,teman seperjuangan hinggalah kepada ikatan suami dan isteri.

Hubungan setiakawan lumrahnya ada yang dicemari dengan virus “curang’ pada prinsip persahabatan atau dengan lebih dekat, khianat pada cinta seorang teman. Tanpa ada janji khusus dan telus, ikatan disimpulkan dengan simpulan senyuman yang pertama dan diteruskan dengan bibit persahabatan yang indah. Episod pertengahan merupakan episod kemuncak dalam menilai kesungguhan dalam diri watak watak perhubungan tersebut untuk mempertahankan manis yang berpanjangan dan menenggelamkan sekelumit pahit yang timbul di jalanan.Ada cerita persahabatan ini tamat hanya dengan kepahitan sebutir kecurangan pada prinsip persahabatan, ada jua yang berakhir seiring berakhirnya nafas dan perpisahan itu seiring juga dengan perpisahan roh daripada jasad.Konklusi diskusi ringkas ini adalah,dalam cinta sebuah persahabatan,watak watak filem perhubungan inilah yang akan menentukan samada mahu menelan sekelumit ego dan kepahitan demi sebuah kemanisan yang berpanjangan. Benar,kita lah yang menentukan. Ambil lah sedikit masa,berfikir dan berfikir,samada wajar diteruskan ataupun tidak. Saya tidak menafikan,bahawa tidak semua persahabatan itu indah,tidak semua watak itu bijak dan pandai dalam menjaga hati watak yang lain kerana dunia tidak pernah sempurna dan hanya kitalah yang boleh menyempurnakannya. Tuntas,ambillah masa,hela lah nafas sepanjangnya ,dan buatlah keputusan bagaimanakah kita sebagai pengarah filem persahabatan ini ,mahu filem ini berakhir, samada dengan bibit indah atau menamatkannya dengan air mata dan berpisah.

Bagi perhubungan dalam perkahwinan, tentunya menagih lebih  kesetiaan. Isteri dan suami perlu sentiasa menilai dan mempertingkatkan kesetiaan antara satu sama lain. Seawal aqad dibaca,sejurus khutbah dibicara dan seterang janji diutara, si suami sudah pun mengangkat janji janji kesetiaan kepada si isteri.Bila sudah dahi dan tangan dikucup,maka pelaksanaan janji kesetiaan tadi telah bermula. Tanda nya terang,ikatan disimpulkan dengan  sebentuk cincin menjadi tanda,dan ramai pula insan yang akan menjadi saksi .

Ada perhubungan pernikahan ini kekal hingga ke akhir nyawa,namun tak kurang yang berakhir dengan talak yang tiada siapa pun suka.Tuntas,selaku pengarahnya,si suami perlu bijak mengarah filem ini sebaiknya.Bangkitkan kesetian dan apungkan bibit kemesraan dan keindahan pada setiap inci perhubungan. Setia seorang suami,perlu memastikan  si isteri berada dalam keadaan selamat dan bahagia. Sama keadaannya dengan si isteri,perlu memastikan keselesaan dan ketenangan si suami dan bukannya memeningkan dan menyerabutkan lagi si suami.

Konklusi diskusi setia dalam cerita suami dan isteri,setia itu banyak cabangnya. Bagi saya, paling penting adalah bagaimana setiap watak di dalamnya menjaga kesetiaan itu supaya tidak wujud langsung persoalan cemburu yang akhirnya mewujudkan rasa tidak percaya dalam diri pasangan. Biarpun saya belum lagi punyai puteri yang bertakhta di hati,apatah lagi si isteri yang sentiasa dinanti dek hati,namun saya percaya,setia itulah penentu kepada segala perhubungan. Orang yang setia,tidak meletakkan kepentingan dan keegoan diri sebagai yang pertama,tapi meletakkan kelangsungan perhubungan sebagai kepentingan. Orang yang setia,tidak akan melihat pertengkaran itu sebagai sebuah perngakhiran,tetapi sebagai permulaan kepada sebuah persefahaman. Orang yang setia juga,tidak akan menyalahkan pasangan atau pun teman kerana sebuah kesilapan,kerana dia tahu,hubungan itu tidak hadir dalam keadaan yang sempurna,tetapi dalam keadaan yang perlu disempurnakan. Tuntas,ayuhlah kita menjadi sebahagian insan yang menyempurnakan perhubungan dengan menjadi insan yang setia: )

Entry ini juga mahu membingkiskan ucapan bangga dan gembira buat Sahabat,adik, teman berbincang,rakan menangis,kawan bertengkar dan pelbagai lagi, yang telah menamatkan zaman bujangnya dengan insan tercinta dan bagi saya juga pasangan beliau adalah seorang yang amat istimewa kerana kesetiaanya yang tidak berbelah bahagi. Tentunya kepada Puan Nurul Ain Binti Mat Rahim dan pasangannya yang setia En yusri (sir yus). Moga keindahan dalam perhubungan sentiasa bertiup dan penamatnya adalah siri kedua cerita cinta ini di syurga yang kekal abadi.Amin…Tahniah Sahabat ku .

Tahniah Sir..Saya kagum dengan dengan kesetiaan kamu,moga saya juga setia seperti kamu,namun bukan lagi pada seribu gadis tetapi pada seorang puteri yang bakal bertakhta di hati..Hehe. : )

Saat bingung sambil termenung…

Posted: November 26, 2011 in ABSARIA

Saat bingung sambil termenung ,ralik dan asyik melihat ragam manusia yang sedang meraikan tahun baru hijrah di kompleks membeli belah dengan ratusan wang yang dibelanjakan. Ada yang sibuk mempromosikan produk,tak kurang pula yang sibuk menatap keindahan ciptaan tuhan.

Saat bingung sambil termenung,ziarah pula suatu peristiwa marah ke pondok usang pemikiran.Terfikir sang fakir fikir  akan sebab manusia marah.Apa sebab si Ibu marah pada anaknya? Apa sebab kawan marah pada rakannya? dan Apa sebab ketua marah pada anak buahnya? Kata si fakir fikir,semuanya kerana si anu ini tidak memenuhi apa yang si anu lain mahukan. Itu saja sebab yang mampu difikir oleh sang fakir fikir.

Saat bingung sambil termenung,diri ini mengiyakan kata sang fakir fikir. Kata wanita pada lelaki,’Aku benci kamu kerana kamu tak setia’, marahnya dia kerana sang lelaki tidak memenuhi apa yang dimahukannya.Kata pembeli kepada penjual,’Kenapa masakan kamu sebegini teruk?!’, Marahnya kerana masakan itu tidak memenuhi seperti apa yang diinginkan.Benar,semuanya kerana sesuatu yang tidak memenuhi apa yang dihajati.

Saat bingung sambil termenung,tangan yang tadi menongkat dagu disilang pula memeluk tubuh,nafas dihela panjang,rupanya aku juga kerap marah. Semuanya kerana apa yang aku hajati tidak pula dipenuhi dan ditepati.Soalnya siapa aku untuk hajat itu dipenuhi dan ditaati? Soalnya kenapa pula hajat itu perlu mereka penuhi dan perlu pula mereka patuhi? dan soalnya yang terakhir,apa hak dan kapasiti diri ini untuk marah bila semua itu tidak menjadi seperti yang diingini?

Saat binggung sambil termenung,wajah dihadap ke langit,kaki mula dikendurkan,aku sekali lagi mengiyakan,bahawa aku bukan sesiapa.Kalau Ibu,Abah,pemimpin dan guru,mereka marah,marah mereka  kerana tanggungjawab. Andai itu kapasiti dan hak yang ada,pasti marah itu wajib wujud tanpa ada rasa ragu dan bersalah.Tapi jika aku marah dan ketika itu marah ku kerana aku adalah aku,maka wajar untuk kau kembali marah pada aku kerana aku hanyalah aku,bukan ibu,abah,pemimpin mahupun guru.Apa yang ada pada diriku,cukup sekadar untuk simpan marah itu,biar pun merah memerah rasa marah,harus aku sedar marah itu hanya berhak bagi mereka yang punya hak.

Saat binggung sambil termenung,kaki ku mula melonjak  sudah mahu mengukir langkah. Aku mahu berhenti marah,kerana aku hanya aku,bukan ibu ,abah,pemimpin mahupun guru. Kaki sudah mula mengorak langkah,namun langkah ku tetap bersama saat yang bingung namun tidak lagi termenung,kerana jawapan yang hilang,kini sudah ku temu.Marah bukan hak aku,tapi hak mereka yang punya rasa tanggungjawab. : )

<P/s: MAAF KIRANYA AKU MARAH SAAT AKU ADALAH AKU.BENAR,DAN SEBENARNYA AKU MEMOHON MAAF WALAU SAAT AKU MASIH BINGUNG DAN TERUS TERMENUNG>

Sebenarnya…

Posted: November 25, 2011 in ABSARIA

Sebenarnya,aku tersangat benci…

Sebenarnya,aku tersangat mahu..

Sebenarnya aku tersangat sedih…

Sebenarnya aku tersangat rindu…

Sebenarnya aku tersangat cemburu..

Namun yang sebenarnya itu sentiasa digelapkan…

Maka yang palsu itu terhampar…

Setengah mengatakannya Hipokrit,

Setengah pula memanggilnya memendam rasa,

Tak kurang pula menngelarkan ‘Penyakit telan saja demi mereka’

Ini yang aku mahu cerita,

aku lebih bersedia untuk ‘terus telan saja’..

Tapi hari ini,yang Sebenarnya itu pula yang terdampar ditepian bibir,

Pantas dan lancar saja katanya,

Jelas dan jernih saja wajah bencinya,

Telus dan cetus saja cemburunya…

Sebenarnya sudah menjadi benar dan sebenarnya,

Tapi kala dan kali ini aku lebih selesa dan ceria,

Maka konklusi diskusi ini,

Pancar dan damparkan saja yang Sebenarnya itu,

Percayalah wajah yang benar dan membenarkan bakal terpancar,

Maka barulah kamu yang sebenarnya akan lahir dan zahir ke dunia sebenar.

Membuat pilihan sudah menjadi kewajiban dalam kehidupan seharian. Mahu ke kiri atau ke kanan, mahu berhenti atau terus berjalan, mahu membina atau merobohkan atau mahu terus  menghidupkan hidup atau membiarkan hidup ,mati hidup-hidup. Buat saja pilihan itu,kerana dengan pilihan kita belajar erti kehidupan. Kata Mat salleh, ‘ we learn from mistake’. Tapi kata Mohd Bin Salleh, kita belajar daripada kesilapan : ).

Ramai orang gentar dan gusar bila berdepan dengan pilihan.Terkadang pilihan itu datang bukan calang calang. Datang pula bergerombolan. Terkadang soal masa depan,terkadang pula soal picisan. Namun,pilihan tetap pilihan . Sesuatu perlu dipilih menjadi keputusan.Paling penting analisa segala aspek pilihan yang datang. Baik dan buruk suatu pilihan sudah tentu wajib disenaraikan. Usai menyenaraikan,rujuk lah pada matlamat dan tujuan anda dihidupkan.Percayalah, ia kan lebih senang dan menyenangkan.

Contoh menarik dan paling buat kita tertarik ialah dalam soal memilih teman dalam kehidupan. Senaraikan kebaikan dan keburukan . kemudian lihat apa matlamat kita dihidupkan . Tentu saja mengabdikan diri pada tuhan. Tuntas,pilih saja yang beriman ,kerana itu juga pesan Nabi sanjungan.

Bila berdepan soal kehidupan, terutamanya dalam membuat perubahan, pastinya banyak kekangan. Kebiasaan yang saya terangkan kepada adik adik pendebat mahupun Junior dalam bidang pengurusan ataupun undang undang,anda mungkin kehilangan kawan bila anda memilih untuk melakukan perubahan. Tetapi sekali lagi teknik dan taktik sama dilakukan. Analisa baik dan buruk,kemudian lihat pada matlamat anda dihidupkan. Ia, benar, Tuhan lebih sukakan mukmin yang kuat dan menguatkan. Tuntas, berubah untuk menjadi lebih baik dan lebih kuat merupakan matlamat Muslim sejati. Percayalah ,lebih baik hilang kawan yang segan pada perubahan daripada hilang masa depan yang menjadi lambang kekuatan hasil daripada sebuah perubahan.

Benar terkadang tersadung dan terkedu dek pilihan yang tidak tepat. Tetapi itulah yang menjadikan manusia lebih dewasa dan hebat. Pilihan akan sentiasa datang dan tanpa jemu ia akan terus menduga. Namun kita manusia,perlu sentiasa bersedia.Teruslah menganalisa baik dan buruknya dan salurkan ia pada matlamat kejadian manusia. Jangan sesekali sia siakan pilihan hanya untuk meraikan taulan dan teman,tanpa mengangkat amanat dari tuhan.

P/s : Pilihlah untuk menjadi yang TERPILIH, kerana yang TERPILIH itu adalah permata di antara ribuan PILIHAN.

memilih untuk terus memilih.

Posted: November 4, 2011 in ABSARIA

Bila sudah namanya insan,susah dan mudah menjadi rencah dan perencah kehidupan. Dalam meredah susah mencicah mudah,lumrah memilih untuk terus memilih menjadi permaidani yang wajib dijejaki dan dijijaki demi melunas hajatnya insan untuk sampai ke destinasi,yang serasi dan yang menyedapkan hati.

Aku ,kita dan kamu,memilih dan perlu terus untuk memilih. Terkadang penat dan tenat dalam memilih. Banyak cabang kehidupan menjadi pemberat kepada pilihan. Bagi sang keldai,pemberatnya apa saja yang mengenyangkan temboloknya. Bagi Sang katak,apa saja yang tercapai dek lidahnya. Bagi sang singa,pemberatnya apa saja yang risau pada ngaumannya. Tak lupa pada sang lebah,apa saja yang termampu oleh sayapnya.

Bagi manusia pula,pemberatnya apa saja yang memudahkan hidupnya. Pada sang Khalifah, apa saja untuk Islam dan Tuhannya. Buat sang Penatang Wasotiah, apa saja demi menyempurnakan dunianya tanpa melupakan akhiratnya. Buat Pencinta Dunia,tentu saja harta dan takhta dunia yang dikejarnya.

Sekali lagi,pilihlah…memilih untuk terus memilih…mana yang kamu mau pilih.

P/s : Terkadang perlu juga memilih untuk berhenti memilih…Redho dengan apa yang sudah Dia pilih..: )

Salam Absarians. Entry kala dan kali ini khusus dicoretkan dan dicorakkan bagi memberi penjelasan atas tindakan saya menulis surat dan ditemuramah oleh berita harian pada 21 hb Oktober yang lalu. Sememangnya sedia maklum bahawa Ijazah Undang Undang daripada Universiti Sultan Zainal Abidin belum lagi mendapat pengiktirafan daripada mana mana badan. Benar, Malaysian Qualification Agency (MQA) sedang dan telah memproses kelayakan Unisza khususnya Ijazah ini bagi dianugerahkan pengiktirafan daripada badan tersebut.Kami terutamanya graduan batch pertama dan kedua sangat berterima kasih atas segala usaha yang dijalankan.

Tuntas,apa relevannya untuk saya menceritakan pada seluruh Malaysia akan keadaan batch kami yang sudah keluar dari  universiti? Andai ada junior yang juga membaca entry ini , sedang belajar bertungkus lumus dalam menghabiskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang undang,teruskanlah berlajar bersungguh sungguh,namun anda perlu bersedia untuk menerima hakikat bahawa anda tidak akan menjadi peguam sebagaimana yang diidamkan. Seperti kami ,usai pengajian maka bertempiaranlah batch kami mengasak ruang pekerjaan di luar sana. Alhamdulliah ,ada yang diterima agensi tak kurang pula nauzibillah,ada juga yang masih mengharap tuah yang tak kunjung tiba. Secara jelasnya,majoriti belum mendapat pekerjaan atau pekerjaan yang diperolehi boleh saja diberi kepada sesiapa yang berkelulusan SPM atau Diploma. Moralnya,tak perlulah berbangga sangat tatkala naik ke pentas menerima skroll daripada Permaisuru Agong nanti.: )

Namun,adakah keadaan kami ini mendapat perhatian Fakulti,Pihak pengurusan Universiti mahupun pihak lain seprti Kementerian pengajian Tinggi dan Badan Peguam? Saya katakan tidak. Mengapa saya mendakwa sedemikian? Kerana sehingga kini tidak ada penjelasan tentang apakah yang sedang berlaku dan apa yang telah dilakukan bagi menjernihkan keadaan.Pernahkah fakulti mahupun pengurusan universiti melihat apakah yang sedang berlaku kepada hasil sulong dan kedua mereka? Memang saya yang berada di Terengganu ini sering bertanya dan mengasak Pihak pengurusan supaya diadakan perjumpaan bagi alumni namun ia seolah olah tiada kepentingan yang dilihat dan mengharapkan agar alumni memahami sendiri apa yang berlaku.’Yelah,kamu dah besar,so faham faham je la’.

Cuba anda bayangkan bagaimana keadaan sebilangan alumni yang sanggup mengikat perut demi menperolehi segulung ijazah undang undang dengan harapan tatkala keluar nanti boleh membela dan membela keluarga,terpaksa pula menanggung liabiliti pinjaman yang bertimbun.Bagaimana agaknya hutang yang bertimbun itu dapat dilangsaikan sekiranya kerja yang didapatii tidak pula setimpal dengan ijazah yang diperolehi.Tak kurang pula keadaan alumni yang berhijrah merentasi lautan namun pulang tanpa sebarang perkerjaan.

Justeru,saya cukup yakin bahawa tindakan saya adalah benar,semata mata untuk membuka mata pihak pihak yang sewajarnya tentang keaadaan anak sulong dan kedua fakulti undang dan hubungan Antarabangsa Unisza. Saya tidak mahu seolah olah keadaan yang tergambar sepertinya sudah pandai mengandungkan dan melahirkan,tapi dibiarkan pula sang anak kelaparan dan kebuluran. Saya juga tidak mahu keadaan yang terlihat sepertinya sang anak menyaman ibu dan bapa kerana keadaan anak yang lahir cacat anggotanya. Saya tidak mahu keadaan hasil FUHA bertindak menyaman pengurusan kerana keadaan ini, walaupun dari sudut perundangannya contohnya seperti legitimate expectation ,membolehkan tindakan itu diambil.

Khulasohnya,UUM dan MMU sudah pun mendapat pengiktirafan walaupun bersyarat.Maknanya sekarang generasi yang keluar dari pintu UUM dan MMU sudah boleh ‘chambering’ dan akhirnya bergelar PEGUAM setelah 7 tahun dan 7 generasi merempat tanpa sebarang kerja yang selayaknya. Perlu diberi perhatian bahawa silibus kita dan UMM serta MMU hampir sama bahkan dikatakan dicedok dari UIA yang sudah lama diiktiraf Legal Profession Act (LPA). Berbeza dengan USIM,Ijazah mereka adalah DOUBLE DEGREE iaitu Ijazah Undang undang dan Syariah,berlainan sama sekali dengan kita. Maknanya,andai mahu disamakan keadaan kita dengan USIM,adalah tidak wajar sama sekali. Ada pula yang berpendapat bahawa ‘Common Bar Course (CBC) akan diperkenalkan,jadi kita akan tunggu sahaja keputusannya’. Perlu anda ingat ,CBC sekiranya diluluskan ,hanya akan bermula pada tahun 2013. Apa akan jadi dengan mereka yang sudah bergraduasi 4 tahun dan menjadi pengganggur yang setia?

Saya perlu menegaskan bahawa tindakan saya adalah bertujuan menjadi pemangkin keadaan dan bukan merebakkan barah dalam perjuangan. Saya dan kawan kawan akan terus bertindak,bukan mahu menghukum sesiapa ,tetapi mahu prosesnya dipercepatkan. Kami tidak menafikan bahawa ini adalah proses tetapi kami menidakkan keadaan yang melambatkan proses tersebut,kerana akhirnya ia akan memberi mudarat besar kepada kami dan anda yang akan keluar nanti. Jangan sampai ada ibu yang pergi mengadap Illahi,sebelum dapat menunaikan impiannya melihat anak kesayangan memakai jubah/robe peguam atau ada ayah yang terpaksa terus mengerah keringat dan membanting tulang seorang diri demi sesuap nasi walhal anak mereka sudah bergelar Graduan Undang Undang!!.

P/s: Bertindak lah walau setapak,melangkahlah memperjuangkan hak.

Use your gun or just keep it silent !

Persinggahan indah…

Posted: October 19, 2011 in ABSARIA

Salam absarians..saat tangan meronta mahu menari di papan kekunci,otak seakan kehabisan bendalir untuk diperah supaya idea terhasil. Cuma apa yang didesak dek hati yang suka berkata kata adalah perkongsian cerita tentang biah di tempat diri ini singgah tumpang berteduh buat seketika.Hampir seminggu bumbung dan lantai Institusi Pengajian Islam Terengganu,yang merupakan sebuah pondok maahad menjadi tempat ku bernaung. Banyak cerita di sebalik cerita ini. Cuma apa yang dilonjak dek jiwa yang sedang meronta,mahu sampaikan berita tentang tenang nya jiwa tatkala diri berlabuh di sini. Benar ,tuhan itu memberi apa yang kita perlu. Saat diri sedang tenggelam dalam arus keributan dunia,dicampakkan aku ke suatu pelusuk dunia untuk berkongsi ilmu perdebatan dengan beberapa orang hafizah yang mahu belajar tentang seni perdebatan ini.

Antara babak menarik kisah persinggahan ini,banyak ilmu dilakar di celah kehijauan potret maahad ini.Aku dikelilingi insan berjubah berserban dan bertudung labuh.Benar,aku seronok ,tenang dan sangat mengujakan.solat berjemaah dan tazkiratulnafsi sentiasa menjadi makanan memenuhkan perut rohani .Merdu suara alunan kitab suci quran sentiasa kedengaran memecah kesunyian.Muamalat berlangsung tanpa ada percampuran noda dan nafsu. Senyuman bersilih dan sapaan salam menjadi nadi insan disini.

Babak kemuncak,aku berdepan dengan sang menjalar si tedung hitam yang berdiri mendengus beberapa tapak sahaja. Seolah olah memberi tazkirah bahawa malaikat maut sentiasa menjengah.Berdiri bulu roma ,terhenti nafas ku seketika. Benar,sangat menginsafkan. Aku mungkin pergi sebelum sempat meklaksanakan janji. Aku mungkin sudah tiada sebelum sempat memadamkan dosa. Namun tuhan lebih tahu,aku masih diberi ruang untuk berjuang. Syukur pada Mu tuhan.

Kini fokusku pada perkongsian ilmu perdebatan dengan para ustazah di maahad ini. Biar ku bermandi tenang seketika dari segala basah keresahan yang bakal tiba. Moga sejuknya tenang itu sentiasa dirasai tatkala sudah sampai dikota.